Sunday 2 August 2015

Masalah yang dihadapi oleh pelajar CP dalam pendidikan





Mengapa prestasi akademik pelajar pekak tidak memberangsangkan?

Pendidikan untuk kanak-kanak pekak bermula daripada peringkat intervensi awal, pra sekolah hingga ke tingkatan enam atas. Mereka belajar menggunakan kurikulum dan buku teks yang sama, tetapi kaedah pengajarannya adalah berbeza.Tahun demi tahun, prestasi akademik pelajar pekak dalam pepeiksaan awam masih tidak menampakkan kemajuan dari segi gred kecemerlangan. Namun begitu, terdapat juga pelajar pekak yang mencipta rekod memperoleh skor A bagi keseluruhan subjek contohnya pelajar Kang Kia Chun daripada SMK Raja Muda Musa, Teluk Intan Perak.

Kia Chun memperoleh 9A dalam SPM 2011



Seperti sedia maklum, pelajar pekak mempunyai kelemahan dari segi bahasa yang menghalang mereka daripada berkomunikasi dengan sempurna seperti pelajar tipikal yang lain. Akan tetapi dengan pelaksanaan kaedah, teknik dan pendekatan yang bertul terhadap pelajar pekak ini, mereka mampu mencipta hasil kecemerlangan yang mungkin lebih baik daripada pelajar perdana. Masalahnya sekarang ialah berpunca daripada sikap dan motivasi dari pelajar itu sendiri dan faktor keprihatinan sistem pendidikan negara terhadap pelajar pekak ini. 

Kebiasaannya, pelajar CP menjawab menggunakan kertas soalan dan mengikut cara peperiksaan yang sama seperti pelajar tipikal dalam peperiksaan-peperiksaan awam UPSR,PT3,SPM dan STPM. Keadaan ini adalah kurang sesuai memandangkan kertas soalan itu sememangnya telah dibuat untuk pelajar tipikal. Beberapa kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa kemahiran serta keupayaan bahasa pelajar CP dan pelajar tipikal mempunyai perbezaan yang besar. Secara logiknya, pelajar CP tidak mampu dan tidak mencapai aras untuk menjawab soalan yang disediakan kepada pelajar perdana. Secara logiknya, memang pelajar CP belajar mengikut silibus seperti perdana, akan tetapi aras pemikiran dan kefahaman pelajar CP masih tidak boleh mengadaptasi dengan jenis soalan yang disediakan. Sememangnya dari segi masa, masa yang lebih lama berbanding pelajar perdana diberika, namun syarat tersebut tidak mampu membolehkan pelajar CP ini menjawab soalan peperiksaan dengan baik.

Struktur bahasa kertas soalan kebiasaannya dibuat berdasarkan struktur bahasa pelajar-pelajar tipikal. Tetap kemahiran bahasa antara dua golongan tersebut adalah berbeza. Terdapat beberapa punca yang menyebabkan pelajar CP tidak dapat menjawab dengan baik dalam peperiksaan awam.
1. Sukar memahami soalan yang ditanya
2. Tiada guru yang dapat menterjemah soalan peperiksaan kepada bahasa yang mudah difahami
3. Tiada pembimbing ketika sedang menjawab, kerana menjadi kebiasaan mereka perlu dibantu oleh guru 
    untuk menerangkan dan memberitahu perkara yang perlu dijawab.
4. Tidak memahami struktur ayat yang digunakan
5. Tidak mampu menjawab soalan yang mempunyai aras tinggi
6. Kebiasaannya, apabila pelajar CP tidak boleh memberi jawapan, mereka akan biarkan kosong sahaja.
7. Sukar menjawab soalan yang memerlukan kemahiran berfikir
8. Tempat atau bilik  darjah peperiksaan yang kurang sesuai
9. Soalan yang diberikan keliru
10. Sikap pemeriksa kertas yang tidak bertimbang rasa.

Punca-punca di atas yang menyebabkan pelajar CP tidak sesuai menjawab soalan peperiksaan yang selaras dengan kertas peperiksaan pelajar tipikal. Hak pelajar CP untuk menduduki peperiksaan yang mempunyai sistem yang bersesuaian perlu dan sepadan dengan keupayaan mereka perlu diberi perhatian. Dalam konteks ini, penyesuaian bermaksud melakukan beberapa perubahan kecil kepada format, sistem peperiksaan dan soalan peperiksaan biasa. Perubahan yang berlaku dalam sistem peperiksaan boleh menyebabkan prestasi berubah. Justeru, pihak yang terlibat perlu melihat isu ini sebagai isu yang perlu dirombak dan melakukan penambahbaikan untuk memastikan hak keistimewaan terhadap pelajar pendidikan khas terjamin. Sistem peperiksaan yang seimbang dan sesuai dengan situasi pelajar CP perlu dipraktikkan. Saya pasti dengan perubahan ini dapat memberi satu anjakan kepada pelajar CP untuk terus maju dan lebih maju dalam bidang akademik dengan wujudnya kejayaan demi kejayaan yang dicipta oleh pelajar CP itu sendiri.

Selain daripada faktor sistem peperiksaan, pelajar CP juga mempunyai masalah sampingan yang berpunca daripada kepekakan. Antaranya ialah seperti motivasi yang rendah, kurang yakin dengan kebolehan sendiri, sikap rendah diri yang tebal, malas dan kelemahan kognitif yang disebabkan oleh kepekakan yang dialami. Dalam memperoleh kejayaan dalam akademik pelajar CP perlu berusaha dengan jayanya yang bermula dari diri sendiri terlebih dahulu dan kemudian barulah motivasi dan bimbingan yang diberikan oleh guru. Guru hanya boleh membantu dengan memberi pengajaran dan tips yang baik sebagao bekalan untuk peperiksaan, dan selebihnya pelajar itu sendiri yang perlu tekun untuk mendapatkan dan mengembangkan ilmu yang telah diperolehinya. Guru sendiri percaya bahawa dengan usaha yang berterusan dan rajin pelajar CP ini boleh mendapat kejayaan yang memberangsangkan malah lebih baik daripada pelajar tipikal. Menghadapi masalah pendengaran bukan halangan atau kekangan bagi seseorang untuk berjaya. Apa yang penting ialah usaha dan yakin dengan perkara yang dipilih.

Sekian, 
dari Catatan Guru Muda CP.



2 comments: